Wednesday, March 25, 2009

Mesyuarat JK Pengurusan TKPM

Mesyuarat J/Kuasa Pengurusan TKPM Selangor
Penerangan dari Pengurus TKPM Bestari Jaya

Bestari Jaya - 17 Mac 2009 - Mesyuarat Jawatan Kuasa Pengurusan TKPM Jabatan Pertanian Negeri Selangor telah diadakan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan ( TKPM ) Bestari Jaya, Kuala Selangor. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh semua Pengurus TKPM Selangor serta pegawai-pegawai dari cawangan teknikal seperti Bahagian Pengurusan Tanah, Bahagian Perlindungan Tanaman dan Bahagian Kejuruteraan Pertanian dan dipengerusikan oleh Ketua Seksyen Program Khas En. Anuar Hj Sadri.
Dalam mesyuarat kali ini juga para pegawai telah diberikan latihan 'hands on' pengurusan tanaman melon varieti Golden Langkawi oleh Pengurus TKPM Bestari Jaya En. Izwan Khairy Bin Hafidzin. Menurut beliau pada masa ini terdapat tiga orang usahawan mengusahakan tanaman melon secara fertigasi tertutup yang melibatkan 12,000 autopot.
Pada masa ini tanaman fasa I telah mengeluarkan hasil yang sangat baik, di mana purata berat adalah 1.3 kg dan mendapat harga ladang RM4.50/kg. Sehingga kini kira-kira 1 metrik tan melon Golden Langkawi telah dipasarkan dan pengeluaran dijangka akan berterusan kepada fasa II dan seterusnya. Mesyuarat ditangguhkan pada jam 1.30 tengahari dan peserta bersurai setelah mengadakan lawatan ke seluruh ladang di TKPM Bestari Jaya.



Wednesday, March 4, 2009

Berkunjung Ke Batangsi

Tanaman betik & belimbing
Pokok belimbing perlu dipangkas
pada paras kepala


Dinginnya air Sg. Batangsi

3 Mac 2009 - Kumpulan Pemantau Teknikal Jabatan Pertanian Selangor telah mengadakan kunjungan ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan ( TKPM ) Sg. Batangsi, Semenyih, Hulu Langat.Program bermula jam 10 pagi dengan taklimat dari Pn. Norhelaliah Pegawai Pertanian Daerah dan seterusnya membincangkan kemajuan dan masalah yg dihadapi oleh peserta-peserta projek.
Seterusnya pasukan pemantau membuat lawatan ke ladang usahawan dan memberikan khidmat nasihat perundingan teknikal kepada para usahawan tani yang terlibat. Beberapa aspek yang telah dikenalpasti perlu diambil berat antaranya ialah :
  • Kawalan hakisan hujan di kawasan tebing dan jalan-jalan ladang
  • Penambahbaikan sistem pengairan di kawasan berbukit
  • Pembinaan jalan ladang yang lebih baik
  • Pengurusan ladang yang baik mengkut Amalan Ladang Baik ( GAP )

TKPM Sg. Batangsi yang mempunyai keluasan 65 hektar dengan melibatkan 13 orang usahawan mempunyai potensi untuk berkembang dan menjadi pembekal bahan makanan khususnya buah-buahan seperti betik dan belimbing. Usaha yang berterusan dan bersungguh-sungguh dari para usahawan tani perlu ditingkatkan bagi mencapai matlamat tersebut. Selain dari itu program pelancongan pertanian ( Agrotourism ) juga perlu dimulakan memandangkan kawasan ini mempunyai tarikan pelancong seperti pemandangan alam semulajadi dan sungai yang indah.