Tuesday, December 23, 2008

MARKISA - Tanaman Berpotensi



Markisa adalah tanaman jenis menjalar yang telah lama ditanam di Malaysia. Buahnya mengandungi vitamin C yang tinggi dan jus markisa mampu mengurangkan panas badan. Walaubagaimana pun dewasa ini tidak ramai petani yang mengusahakan tanaman ini secara komersial. Di Gua Tempurong, Perak sekumpulan petani telah mengusahakan tanaman ini secara komersial sejak lima tahun yang lalu.

Saya berkesempatan melawat projek ini semasa lawatan bersama TPPN Selangor pada November 2008 dan mendapati projek ini berpotensi untuk dikembangkan bagi menambah pendapatan para petani. Projek yang diusahakan oleh empat orang petani tersebut dijalankan di atas tanah seluas 3 ekar. Setiap ekar tanah mampu menampung 20 pokok markisa dan selepas 6 bulan ditanam di ladang ia akan mengeluarkan bunga dan buah.

Setiap minggu sepokok markisa boleh berhasil sebanyak 200 kg dan harga di ladang adalah RM3.00 hingga RM6.00 sekilogram mengikut gred. Buah markisa banyak dijual dipasar buah atau di pasaraya dengan harga antara RM10.00 hingga RM13.00 sekilogram.

FERTIGASI TERGANTUNG?



Anda jangan terkejut melihat gambar di atas. Teknik penanaman sayuran secara fertigasi tergantung telah diamalkan oleh petani di Kuantan, Pahang. Dalam sessi lawatan ke projek berkenaan selepas Mesyuarat Pemantauan TKPM Jabatan Pertanianpada 17 Disember 2008, kami telah dibawa melawat projek berkenaan yang dijalankan di sebuah kampong yang terletak kira-kira 30 km dari Bandar Kuantan, Pahang.

Menurut pengusahanya, projek ini memberikan pulangan sama dengan projek yang dibuat di atas tanah, tetapi dengan kaedah ini kerja-kerja merumput telah dapat dikurangkan. Projek ini juga sesuai di kawasan tanah yang mudah banjir atau berpaya. Walau bagaimana pun penulis berpendapat tanah yang tidak digunakan itu boleh ditanam dengan tanaman kontan seperti serai, nanas, ulam dan sebagainya bagi menambah pendapatan petani.

Monday, December 22, 2008

APA PERANAN AJEN PENGEMBANGAN?

Apa Peranan Ajen Pengembangan?
Sebagai Ajen Pengembangan kita mempunyai peranan yang sangat besar dalam mengubah sikap para petani ke arah yang lebih baik dan cemerlang. Kejayaan golongan sasar khususnya petani bergantung kepada sejauh mana keupayaan ajen pengembangan menterjemahkan peranan mereka di lapangan atau di ladang. Antara peranan utama ajen pengembangan adalah :
  1. Mendidik/mengajar - di dalam dunia pertanian, petani adalah 'rakan' ajen pengembangan dan bukan 'target'.
  2. Membantu/menolong -bersedia membantu menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh petani.
  3. Memimpin - dalam aspek memimpin ini kita perlu tahu menyesuaikan keadaan kerana berbeza kategori pelanggan maka berbeza pula cara kepimpinan.
  4. Mentor/contoh - ajen pegembangan perlu menjadi contoh untuk diikuti oleh petani. Oleh itu ajen pengembangan perlu mahir dalam bidangnya serta dedikasi dalam tugas-tugasnya.

LAWATAN PENGARAH AUDIT KE TKPM SELANGOR


Pengarah Jabatan Audit Negara Cawangan Selangor telah mengadakan lawatan pemantauan ke TKPM Daerah Sepang dan Kuala Langat pada pertengahan bulan November 2008. Seramai lima orang pegawai turut sama di dalam program lawatan pemantauan tersebut. Pengarah Pertanian Negeri Selangor Pn. Noorazimah Taharim juga turut serta dan memberi penerangan berkaitan pelbagai aspek TKPM yang dikendalikan oleh Jabatan Pertanian Negeri Selangor.

Friday, December 5, 2008

KURSUS FERTIGASI USAHAWAN TKPM SELANGOR




Tajuk Kursus : Pengurusan Tanaman Melon Teknologi Fertigasi Autopot
Tarikh : 22-23 Oktober 2008
Lokasi : ILPP Serdang, Selangor
Peserta : Usahawan TKPM Selangor
Ringkasan :
Jabatan Pertanian Selangor telah menganjurkan Kursus Tanaman Melon Teknologi Fertigasi Autopot untuk usahawan TKPM yang bertujuan memberi pengetahuan dan meningkatkan kemahiran dalam kaedah mengurus tanaman melon menggunakan kaedah fertigasi.Seramai 20 orang usahawan dan pegawai telah menghadiri kursus tersebut.



Kursus fertigasi di ILLP Serdang Lawatan ke ladang Golden Langkawi secara fertigasi autopot