Thursday, July 2, 2009

Cendawan Jana Pendapatan Lumayan

Cendawan tiram kelabu
Syukri dan Zaharah usahawan cendawan yg berjaya

Lawatan pegawai Jabatan Pertanian Selangor
Cendawan tiram kelabu mampu menjana pendapatan yang lumayan sekiranya diusahakan dengan bersungguh-sungguh secara komersial serta dalam skala yang besar. Ini telah dibuktikan oleh En. Syukri Bin Ahmad bersama isteri beliau Puan Zaharah Bte Jidin di Hulu Selangor. Beliau yang berpengalaman dalam penanaman cendawan selama 16 tahun berkata perusahaan tanaman cendawan mempunyai masa hadapan yang baik kerana mempunyai permintaan yang berterusan serta produk ini boleh dipelbagaikan.
Pada masa ini beliau mengusahakan kira-kira 120,000 beg cendawan setiap masa dengan dibantu oleh 4 orang pekerja sepenuh masa. Dengan pengeluaran hasil cendawan tiram kelabu sebanyak 150 kg sehari dan harga RM8.00 bagi setiap kilogram En Syukri mampu tersenyum puas kerana usaha keras beliau selama ini telah mendatangkan pulangan yang lumayan.
Bercakap mengenai pemasaran beliau selanjutnya berkata " pasaran tiada masalah, kerana cendawan yang dikeluarkan oleh syarikat kami berkualiti serta mendapat permintaan dari pasar borong serta kedai-kedai berhampiran"
Selain mengeluarkan cendawan segar beliau juga menawarkan jualan beg cendawan yang telah siap dengan benih cendawan dengan harga RM1.20 bagi setiap beg.



Wednesday, July 1, 2009

Lawatan Naziran Projek Pertanian

Projek Orkid di Beranang,Hulu Langat
Projek Pemprosesan Kek Sarawak

Projek Pizza jenama Pizza Pah
3 Jun 2009 - lawatan Naziran telah dijalankan ke projek-projek pertanian dan industri asas tani di sekitar daerah Hulu Langat, Selangor. Lawatan ini bertujuan untuk memantau kemajuan projek dan mengenalpasti masalah yang timbul serta memberikan penyelesaiannya. Setakat ini projek-projek yang dilaksanakan oleh usahawan telah menunjukkan prestasi yang memuaskan.



Wednesday, May 6, 2009

LAWATAN BELAJAR

Taklimat Pengurus TKPM Rhu Tapai,Terengganu
Ladang pitaya TKPM Rhu Tapai

Lawatan projek fertigasi PLPP Besut Terengganu


Projek cili fertigasi Projek Diraja Kg.Banggol,Kota Bharu,Kelantan



Projek pertanian organik Kg. Laklok,Machang,Kelantan
Lawatan belajar bagi Pengurus-Pengurus TKPM Negeri Selangor telah diadakan pada 25 - 28 April ke projek-projek komersil di negeri Terengganu dan Kelantan. Seramai 25 orang pegawai telah mengikuti lawatan tersebut yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran mengenai pengurusan projek-projek komersil serta pertanian organik.Selain itu peserta lawatan juga berpeluang mengetahui isu-isu dan masalah-masalah yang dihadapi serta kaedah penyelesaiannya bagi setiap projek yang dilawati.
Peserta lawatan juga telah berpeluang melawat program agro pelancongan yang dilaksanakan di Kg. Laklok, Jajahan Machang Kelantan. Pengetahun ini penting untuk diterapkan dan dilaksanakan di kawasan TKPM negeri Selangor sebagai usaha meningkatkan pendapatan para peserta projek TKPM.






Tuesday, April 7, 2009

Rebung Madu Semakin Popular

Masak lemak rebung madu
Ladang rebung madu

Pengusaha menuai rebung madu
Masak lemak rebung memang sedap dan digemari oleh kebanyakan masyarakat di negara kita. Kebanyakan bekalan rebung mentah di dapati dari peraih yang mencari bahan tersebut di kawasan hutan yang banyak ditumbuhi pokok buluh. Rebung biasanya diambil dari pokok buluh muda samada dari jenis buluh betong, buluh beting atau buluh tumpat .
Pada masa ini rebung buluh madu sangat popular terutamanya di bahagian utara Semenanjung Malaysia yang mana rebung madu sering dijadikan menu utama dalam majlis kenduri kendara.Oleh kerana permintaan yang semakin meningkat dan bekalan rebung yang berkurangan, terdapat pengusaha yang telah mengusahakan pengeluaran rebung secara komersil dengan menanam di ladang.
Bagi satu ekar ( 0.4 hektar ) tanah sebanyak 113 rumpun buluh mampu ditanam dengan jarak 16 kaki x 24 kaki dan rebung mula berhasil setelah 8 bulan ditanam.Pembajaan hanya dilakukan dengan menabur baja organik dua kali setahun. Pada umur 2 tahun setiap rumpun buluh mampu mengeluarkan 3 - 5 kg rebung sebulan. Dengan harga RM5.00 sekilogram pengusaha dapat memperolehi pendapatan lebih RM2,000.00 sebulan bagi keluasan seekar tanaman buluh rebung madu. Oleh yang demikian tanaman buluh rebung madu ini berpotensi diusahakan di kawasan tanah terbiar, selingan tanaman getah, dusun buah-buahan atau keliling rumah sebagai lanskap kerana tanaman ini hanya memerlukan penyelenggaraan yang mudah dan murah.




Wednesday, March 25, 2009

Mesyuarat JK Pengurusan TKPM

Mesyuarat J/Kuasa Pengurusan TKPM Selangor
Penerangan dari Pengurus TKPM Bestari Jaya

Bestari Jaya - 17 Mac 2009 - Mesyuarat Jawatan Kuasa Pengurusan TKPM Jabatan Pertanian Negeri Selangor telah diadakan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan ( TKPM ) Bestari Jaya, Kuala Selangor. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh semua Pengurus TKPM Selangor serta pegawai-pegawai dari cawangan teknikal seperti Bahagian Pengurusan Tanah, Bahagian Perlindungan Tanaman dan Bahagian Kejuruteraan Pertanian dan dipengerusikan oleh Ketua Seksyen Program Khas En. Anuar Hj Sadri.
Dalam mesyuarat kali ini juga para pegawai telah diberikan latihan 'hands on' pengurusan tanaman melon varieti Golden Langkawi oleh Pengurus TKPM Bestari Jaya En. Izwan Khairy Bin Hafidzin. Menurut beliau pada masa ini terdapat tiga orang usahawan mengusahakan tanaman melon secara fertigasi tertutup yang melibatkan 12,000 autopot.
Pada masa ini tanaman fasa I telah mengeluarkan hasil yang sangat baik, di mana purata berat adalah 1.3 kg dan mendapat harga ladang RM4.50/kg. Sehingga kini kira-kira 1 metrik tan melon Golden Langkawi telah dipasarkan dan pengeluaran dijangka akan berterusan kepada fasa II dan seterusnya. Mesyuarat ditangguhkan pada jam 1.30 tengahari dan peserta bersurai setelah mengadakan lawatan ke seluruh ladang di TKPM Bestari Jaya.



Wednesday, March 4, 2009

Berkunjung Ke Batangsi

Tanaman betik & belimbing
Pokok belimbing perlu dipangkas
pada paras kepala


Dinginnya air Sg. Batangsi

3 Mac 2009 - Kumpulan Pemantau Teknikal Jabatan Pertanian Selangor telah mengadakan kunjungan ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan ( TKPM ) Sg. Batangsi, Semenyih, Hulu Langat.Program bermula jam 10 pagi dengan taklimat dari Pn. Norhelaliah Pegawai Pertanian Daerah dan seterusnya membincangkan kemajuan dan masalah yg dihadapi oleh peserta-peserta projek.
Seterusnya pasukan pemantau membuat lawatan ke ladang usahawan dan memberikan khidmat nasihat perundingan teknikal kepada para usahawan tani yang terlibat. Beberapa aspek yang telah dikenalpasti perlu diambil berat antaranya ialah :
  • Kawalan hakisan hujan di kawasan tebing dan jalan-jalan ladang
  • Penambahbaikan sistem pengairan di kawasan berbukit
  • Pembinaan jalan ladang yang lebih baik
  • Pengurusan ladang yang baik mengkut Amalan Ladang Baik ( GAP )

TKPM Sg. Batangsi yang mempunyai keluasan 65 hektar dengan melibatkan 13 orang usahawan mempunyai potensi untuk berkembang dan menjadi pembekal bahan makanan khususnya buah-buahan seperti betik dan belimbing. Usaha yang berterusan dan bersungguh-sungguh dari para usahawan tani perlu ditingkatkan bagi mencapai matlamat tersebut. Selain dari itu program pelancongan pertanian ( Agrotourism ) juga perlu dimulakan memandangkan kawasan ini mempunyai tarikan pelancong seperti pemandangan alam semulajadi dan sungai yang indah.

Monday, February 23, 2009

Buah Jambu Tiga Serangkai


Buah jambu tiga serangkai
Anak kerbau mati tertambat
Apa ilmu yang adik pakai
Bila ku pandang hati terpikat
Tapi buah jambu yang berhasil di tepi rumah saya ini bukan berbuah tiga serangkai...tetapi berbuah berangkai-rangkai. Pokok jambu air Taiwan ini mula berhasil lebat setelah 4 tahun ditanam dan dibaja menggunakan baja tumbesaran NPK 15:15:15 serta baja buah NPK 12:12:17:2 + TE. Disamping itu saya juga menggunakan baja foliar yang kaya dengan unsur nutrien untuk menggalakkan pengeluaran bunga dan buah.
Bagi sehektar tanah sebanyak 270 pokok dengan jarak 6 meter x 6 meter boleh ditanam dan pokok akan mula berbuah pada umur tiga tahun selepas ditanam. Jangkahayat tanaman ini adalah lebihkurang selama 12 tahun dan purata hasil sebanyak 30 metrik tan setahun. Dengan harga ladang RM4.00/kg tanaman jambu air ini mampu memberi pulangan bersih antara RM3,500 -RM4,000 sebulan.
Musuh utama jambu air ialah Lalat buah ( Bactrocera dorsalis ) yang mana berengga/ulatnya akan mengorek isi buah dan menyebabkan kerosakan. Kawalan boleh dilakukan dengan membalut buah muda dengan kertas, membuang/menanam buah-buah yang rosak serta menyembur dengan umpan protein promar yang dicampur malathion, deltametrin atau fenthion. Lalat buah juga boleh diberi umpan methyl-eugenol bagi mengurangkan populasinya.