Monday, February 23, 2009

Buah Jambu Tiga Serangkai


Buah jambu tiga serangkai
Anak kerbau mati tertambat
Apa ilmu yang adik pakai
Bila ku pandang hati terpikat
Tapi buah jambu yang berhasil di tepi rumah saya ini bukan berbuah tiga serangkai...tetapi berbuah berangkai-rangkai. Pokok jambu air Taiwan ini mula berhasil lebat setelah 4 tahun ditanam dan dibaja menggunakan baja tumbesaran NPK 15:15:15 serta baja buah NPK 12:12:17:2 + TE. Disamping itu saya juga menggunakan baja foliar yang kaya dengan unsur nutrien untuk menggalakkan pengeluaran bunga dan buah.
Bagi sehektar tanah sebanyak 270 pokok dengan jarak 6 meter x 6 meter boleh ditanam dan pokok akan mula berbuah pada umur tiga tahun selepas ditanam. Jangkahayat tanaman ini adalah lebihkurang selama 12 tahun dan purata hasil sebanyak 30 metrik tan setahun. Dengan harga ladang RM4.00/kg tanaman jambu air ini mampu memberi pulangan bersih antara RM3,500 -RM4,000 sebulan.
Musuh utama jambu air ialah Lalat buah ( Bactrocera dorsalis ) yang mana berengga/ulatnya akan mengorek isi buah dan menyebabkan kerosakan. Kawalan boleh dilakukan dengan membalut buah muda dengan kertas, membuang/menanam buah-buah yang rosak serta menyembur dengan umpan protein promar yang dicampur malathion, deltametrin atau fenthion. Lalat buah juga boleh diberi umpan methyl-eugenol bagi mengurangkan populasinya.

Friday, February 13, 2009

Teknologi Fertigasi Autopot









Teknologi penanaman fertigasi menggunakan kaedah autopot adalah merupakan satu inovasi baru dalam bidang pertanian modern di Malaysia.Melalui teknologi ini baja cecair yang disalurkan ke dalam bekas autopot akan disalirkan pada kadar yang optimum sepanjang masa. 'Smart valve' yang terdapat di dalam autopot akan memastikan baja cecair memasuki bekas autopot secara otomatik.
Jabatan Pertanian Selangor telah mengorak langkah bagi mempelopori teknologi ini dengan memulakan projek ini di Taman Kekal Pengeluaran Makanan ( TKPM ) Bestari Jaya, Kuala Selangor, TKPM Serdang dan TKPM Hulu Yam, Hulu Selangor.Projek telah dimulakan pada awal bulan November 2008 di mana penambahbaikan rumah-rumah fertigasi dan pemasangan sistem fertigasi autopot telah dilaksanakan. Seramai 13 orang usahawan tani telah terlibat di dalam projek tersebut dan jenis tanaman yang telah dipilih adalah 'Rock Melon' varieti Glamour dan Golden Langkawi.
Jadual penanaman telah dibuat dan pada masa ini fasa pertama penanaman telah dijalankan di TKPM Bestari Jaya dan TKPM Serdang, manakala di TKPM Hulu Yam penanaman pertama dijangka pada awal Mac 2009. Adalah dijangka tuaian hasil yang pertama akan dapat diperolehi pada pertengahan bulan Mac 2009.
Pasaran melon dijangka tidak menghadapi masalah kerana para usahawan telah mendapat persefahaman pasaran secara ladang kontrak bersama Persatuan Usahawan Graduan Malaysia ( PUGM ) yang memerlukan bekalan 'Rock Melon' sebanyak 3 metrik tan seminggu.


Wednesday, February 11, 2009

Lawatan Naziran Projek Pertanian Daerah Klang





Pasukan Pemantau/ Naziran Jabatan Pertanian Selangor telah mengadakan lawatan ke projek-projek pertanian di Daerah Klang pada 5 Februari 2009. Program dimulakan dengan penyampaian taklimat kemajuan projek oleh Pegawai Pertanian Daerah Klang dan disusuli sessi soal jawab.

Lawatan naziran telah dijalankan dibeberapa projek di sekitar Kg. Sg. Serdang dan Meru Klang yang meliputi projek tanaman tembikai, tanaman cili fertigasi, projek tanaman orkid komersil dan projek memproses mayonis.

Adalah diharapkan agar Pegawai-pegawai Pengembangan Pertanian akan terus memberikan khidmat nasihat yang berterusan dan terbaik kepada pelanggan khususnya para usahawantani. Ini akan memberikan impak yang berkesan bagi menjayakan matlamat untuk meningkatkan sosio ekonomi masyarakat kita.

Pemasaran Ladang Kontrak Rock Melon


Projek Fertigasi Rock Melon TKPM Hulu Yam



Mesyuarat pemasaran kontrak


Pada 23 Jan 09, Jabatan Pertanian telah mengadakan Mesyuarat Pemasaran Ladang Kontrak projek tanaman Rock Melon bersama dengan wakil Persatuan Usahawan Graduan Malaysia ( PUGM). Mesyuarat ini bertujuan untuk merancang jadual pengeluaran hasil Rock Melon jenis Glamour yang akan dilaksanakan oleh usahawan-usahawan Taman Kekal Pengeluaran Makanan ( TKPM ) yang diselia oleh Jabatan Pertanian.
Presiden PUGM, En. Muzamir telah bersetuju untuk membeli hasil buah Rock Melon dari usahawan TKPM dengan kuantiti tiga metrik tan seminggu dan harga yang ditawarkan adalah antara RM3.50 hingga RM4.00 sekilogram. Berat purata setiap buah melon adalah 1.4 kg ke atas.Beliau menerangkan bahawa pada masa ini terdapat seramai lapan ahli PUGM telah memulakan projek penanaman melon dan mendapat jaminan pasaran secara ladang kontrak.
Projek fertigasi tanaman Rock Melon secara fertigasi ini sedang dilaksanakan di TKPM Bistari Jaya, TKPM Hulu Yam, TKPM Serdang, Selangor, TKPM Besut, Terengganu dan TKPM Ayer Hitam, Johor.

Thursday, January 15, 2009

PELANCARAN TKPM LANCHANG,PAHANG

Projek Pertanian Moden/Taman Kekal Pengeluaran Makanan ( TKPM ) Lanchang, Temerloh, Pahang telah dirasmikan pelancarannya oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 13 Januari 2009 di tapak pelancaran TKPM Lanchang, Pahang.
Projek yang diselia oleh Jabatan Pertanian tersebut telah dibuka pada tahun 2002 dengan keluasan 3,600 hektar di Mukim Semantan, Lanchang temerloh Pahang.Daripada keluasan tersebut sebanyak 3,200 hektar diusahakan di bawah Taman Pertanian Moden manakala seluas 400 hektar dilaksanakan oleh usahawan di bawah TKPM. Jenis tanaman yang diusahakan adalah buah-buahan tidak bermusim seperti betik, nangka, belimbing, pisang, dan herba/rempah ratus.

Matlamat projek adalah :
  • Mewujudkan satu kawasan kekal pengeluaran makanan yang komersil dan moden.
  • Melibatkan sektor swasta dan usahawan tani kecil dalam pengeluaran.
  • Membantu dalam mengurangkan defisit imbangan perdagangan makanan.

Konsep pelaksanaan adalah :

  • Perladangan komersil berskala besar dan moden dgn pilihan bidangusaha yang berdaya maju dan mampan.
  • Fokus penanaman kepada buah-buahan tidak bermusim mengikut kesesuaian zon tanaman, herba dan rempah ratus.
  • Mengamalkan Amalan Pertanian Yang Baik, perladangan presis serta mekanisasi dan automasi.
  • Rangkaian aktiviti pengeluaran hingga pemasaran dalam satu pakej
  • Agro pelancongan.

Tuesday, December 23, 2008

MARKISA - Tanaman Berpotensi



Markisa adalah tanaman jenis menjalar yang telah lama ditanam di Malaysia. Buahnya mengandungi vitamin C yang tinggi dan jus markisa mampu mengurangkan panas badan. Walaubagaimana pun dewasa ini tidak ramai petani yang mengusahakan tanaman ini secara komersial. Di Gua Tempurong, Perak sekumpulan petani telah mengusahakan tanaman ini secara komersial sejak lima tahun yang lalu.

Saya berkesempatan melawat projek ini semasa lawatan bersama TPPN Selangor pada November 2008 dan mendapati projek ini berpotensi untuk dikembangkan bagi menambah pendapatan para petani. Projek yang diusahakan oleh empat orang petani tersebut dijalankan di atas tanah seluas 3 ekar. Setiap ekar tanah mampu menampung 20 pokok markisa dan selepas 6 bulan ditanam di ladang ia akan mengeluarkan bunga dan buah.

Setiap minggu sepokok markisa boleh berhasil sebanyak 200 kg dan harga di ladang adalah RM3.00 hingga RM6.00 sekilogram mengikut gred. Buah markisa banyak dijual dipasar buah atau di pasaraya dengan harga antara RM10.00 hingga RM13.00 sekilogram.

FERTIGASI TERGANTUNG?



Anda jangan terkejut melihat gambar di atas. Teknik penanaman sayuran secara fertigasi tergantung telah diamalkan oleh petani di Kuantan, Pahang. Dalam sessi lawatan ke projek berkenaan selepas Mesyuarat Pemantauan TKPM Jabatan Pertanianpada 17 Disember 2008, kami telah dibawa melawat projek berkenaan yang dijalankan di sebuah kampong yang terletak kira-kira 30 km dari Bandar Kuantan, Pahang.

Menurut pengusahanya, projek ini memberikan pulangan sama dengan projek yang dibuat di atas tanah, tetapi dengan kaedah ini kerja-kerja merumput telah dapat dikurangkan. Projek ini juga sesuai di kawasan tanah yang mudah banjir atau berpaya. Walau bagaimana pun penulis berpendapat tanah yang tidak digunakan itu boleh ditanam dengan tanaman kontan seperti serai, nanas, ulam dan sebagainya bagi menambah pendapatan petani.